sahabat2 setia

Showing posts with label Risalah Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Risalah Dakwah. Show all posts

Friday, June 1, 2012


Intipati Ucapan Presiden PAS
Munajat dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya

Firman Allah:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa  jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)

1. Mukadimah

         PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan petunjuk Allah,  dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t., insyaAllah. Sudah tiba masanya BN diundurkan, kerana tempoh masa terlalu panjang sehingga terdedah banyak kesilapan yang memalukan. Kalau dibiarkan berterusan, menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.

         Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut. Justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.

        Dalam menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.

         Marilah kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة
Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .


2.  Kandungan


2.1 Allah menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 – 13)

         Allah s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفوز الغظيم) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فتح قريب) di dunia.

        Kemenangan akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله) setelah kita mempersiapkan ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak, komited, pimpinan-pimpinan parti yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti yang tepat.


2.2 Menegaskan kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.

        Tiada percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):

“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

Memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah: (آل عمران)

104.  Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.

         PAS sedia berdailog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan pendirian PAS yang sentiasaberistiqamah.

         Membangunkan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia, malah kepada seluruh alam sejagat.

         PAS menyeru kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang dikemukakan:

“Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات) dan saling bekerjasama (التعاون) ke arah kejayaan (الفلاح) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat.”

Allah membuat perbandingan dengan firmannya: (البقرة)
200.  Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.
201.  Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

         Model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO dan BN, kerana  sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan Bumiputera.

         Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah kepada alam sekitar.

2.3 PAS telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

         UMNO sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

         Dasar perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di Malaysia. Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan rakyat yang berteraskan adil kepada semua .

        Dengan semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakang al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam. Hukum-hukum Allah dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.

         Apabila Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak dapat dipertahankan.

         UMNO juga bertanggungjawab

          Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.

          Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi

          Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.

          Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing.

          Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah. Antaranya dengan menafikan hak kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Serawak.

        Pemerintahan UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun. Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.

         PAS benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran al-Quran dan al-Sunnah.

2.4 PR juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.

         Negara Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara semakin runtuh dengan:

-          Terhakisnya semangat federalisme.

         Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja Melayu.

          Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa, sehingga Institusi Kehakiman tidak lagi berwibawa dan hilang keyakinan.

          Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri.

-          Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.

         Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah begitu besar.
         Ketika orang lain mengambil contoh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat, BN yang berketuakan Umno menipu dan merasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan apa sahaja.

         Masa depan ekonomi Negara juga semakin suram.

          Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion melebihi 53% KDNK Negara.

          Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.

-          Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.

         Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah.

         Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.

          Dasar dan polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air Asia.

         Begitulah kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya.
فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة


2.5 Roadmap ke Putrajaya

         PAS menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung Malaysia di samping melipat-gandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.

         PR perlu memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:

         Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008

          Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU ke-12 2008.

         Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

         PAS mesti berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia di perintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

        PAS mesti berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di samping berusaha menawan negeri Perlis.

         PAS mesti berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

        PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

        PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3 - 4 % dengan langkah-langkah berikut:

          Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.

          Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.

         Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar. Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut.

          Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

         PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepadapengundi-pengundi Muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.

         PAS melalui Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

       PAS melalui Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

         PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan “PAS for All”.

         Semua ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpujisupaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.

2.6 Persiapan Ahli-ahli PAS

Firman Allah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

         Berdasarkan ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling sengit.

         Para petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.

        Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang tidak perlu dan mengutama semangat syura dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

         Mempereratkan hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.

3. Penutup

        Saya menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita , melaksanakan tugas dengan Istiqamah dan Iltizam , semata-mata mencapai keredhaan Allah.
         الله أكبر ولله الحمد


Wednesday, May 4, 2011

ILMU FIQH DAN GERAKAN ISLAM


( TOKOH-TOKOH BESAR GERAKAN ISLAM DALAM SEJARAH- SAARI SUNGIB )

Gerakan islam seperti mana-mana organisasi lain, wujud dalam satu realiti dan persekitaranyang dinamik.Sesebuah organisasi berfungsi dan berinteraksi dengan persekitarannya. Dengan itu, bagi mencapai visi dan misinya, sesebuah organisasi mencari kaedah dan cara-cara untuk mengukuh dan mementapkan kelangsungannya.

Organisasi yang pintar adalah organisasi yang sentiasa mencari, mewujud dan mencipta kesepadanan antara persekitaran dalamannya dengan persekitaran luar di mana ia berfungsi dan beroperasi.Organisasi yang berjaya ialah organisasi yang prihatin dan sensitif terhadap realiti di sekitarnya.Dalam bahasa gerakan islam realiti disebut sebagai Al-Waqi’.

Pemikir gerakan islam masa kini, Dr Yusof Al-Qardawi menegaskan bahawa dewasa ini perlu wujud dua peringkat ilmu fiqh.Peringkat pertama ialah Fiqh Asy-syariah dan peringkat kedua adalah Fiqh Al-waqi’.

Fiqh Asy-syariah merupakan ilmu ynag didasarkan kepada tuntutan nas dan dalil Al-Quran dan As-Sunnah serat segala roh yang berkaitan dengan tuntutan syariat.Ilmu fiqh di peringkat ini memberi tumpuan dalam menepati maqasid syariahatau maksud syariat islam itu diturunkan oleh Allah.

Fiqh Al-Waqi’ adalah ilmu yang berteraskan kepada pemahaman tentang apa yang benar-benar berlaku.Ia juga adalah ilmu yang membincangkan bagaimana gerakan islam dapat memehami keadaan semasa, faktor-faktor yang mengesani serta kuasa-kuasa yang sedang mendominasi perjalanan masyarakat.Ia juga menuntutb aktivis dakwah untuk turun ke medan, melihat realiti, bergelumang sendiri dengan kemelut masalah dan menyelami rintihan hati rakyat.

LIMA ILMU FIQH

Ulama terkemuka, Syeikh Nasiruddin al-Albani menegaskan bahawa gerakan islam perlu kepada ilmu fiqh al-waqi’ bagi tujuan berwaspada daripada tipu helah musuh.

Dalam konteks kekusutan ( kompleksiti ) masyarakat kini, Dr Yusof Al-Qardawi menyatakan bahawa tuntutan kontemporari fiqh asy-syariah hanya dapat dipenuhi dengan kefahaman yang baik terhadap fiqh al-waqi’.

Menurut Al-Qardawi, bagi membolehkan gerakan islam memenuhi tuntutan syariah dalam waqi’ semasa, lima lagi ilmu fiqh diperlukan.Ilmu-ilmu ini adalah fiqh al-maqasid, fiqh al-aulawiyyat, fiqh as-sunan, fiqh al- muwazanah dan fiqh al-ikhtilaf.

Fiqh al-maqasid adalah ilmu bagi mengenali tujuan-tujuan yang digariskan oeh syariat Islam.Ilmu ini berteraskan kepada prinsip untuk melindungi, mempertahan serta mengukuhkan kemaslahatan sosioekonomi dan politik dalam aktivisme serta dinamisme kehidupan manusia.Mempertahan karamah al-insan atau hak asasi manusia, antara lain adalah tunjang kepada fiqh al-maqasid.

Fiqh al-aulawiyyat adalah imu untuk membolehkan gerakan islam memahami keutamaan terhadap tindakan yang akan diambil dalam konteks memenuhi tuntutan perjuangannya.Ilmu ini juga secara objektif menggariskan tingkatan mal samada berupa strategik, taktikal ataupun operasional.Pengenalan terhadap aulawiyyat yang tepat juga dapat mengelakkan gerakan islam daripada bertindak secara subjektif dan sewenang-wenang ( arbitrary ).

Fiqh as-Sunan adalah ilmu dalam memahami peraturan Allah dalam kejadianNya khususnya dalam peraturan politik dan kemasyarakatan.Peraturan ini merupakan hukum alam atau sunnatullah.Terhadap prinsip mendasari ( underlying principles ) dalam hukum-hukum alam.Oleh itu, ia wajib dikaji dan difahami serta sunnah perubahan, sunnah kemenangan, sunnah kegagalan, sunnah kekalahan dan seumpamanya.

Fiqh al-muwazanah adalah ilmu bagi membolehkan gerakan islam menimbangkan antara maslahah dan mafsadah atau antara manfaat dan mudarat.Sesuatu itu dikira maslahah atau mafsadah biasanya berpandukan kepada ketetapan syarak yang qat’ie, namun adakalanya ketetapan itu pula bersandarkan kepada suatu konteks tertentu.

Fiqh al-Ikhtilaf adalah ilmu yang berkaitan dengan kaedah-kaedah dan adab-adab perselisihan pandangan.Dalam konteks tradisional, ia melibatkan aspek-aspek furu’ fiqhiyyah.Dalam konteks gerakan Islam, ia melibatkan perbezaan pandangan dari segi strategi, taktik metodologi, pendekatan, uslub, polisi dan seumpamanya.

Monday, April 4, 2011

Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!




Assyahid Hassan Al-Banna

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Al Kahfi:13)

Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Anakanda di penjara menara gading,

Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.

Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.

Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.

Anakanda di penjara menara gading,

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.

Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Anakanda di penjara menara gading,

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.

Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.

Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah ‘Islam yang maha suci’ yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19): “Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.”

Suatu lagi firman Allah (Al-Maa’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.

Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):

“Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali – kali akan di terima.”

Anakanda di penjara menara gading,

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.

Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.

Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.

Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.

Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.

Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Anakanda di penjara menara gading,

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110):

“Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):

“Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.”

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.

Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

.............................................................................................................................

Warkah atau ucapan permulaan dari assyahid Hasan Al Banna ini dibuat dalam satu perjumpaan bersejarah bersama ribuan mahasiswa di Universiti Qahirah pada tahun 1940-an. Beberapa suntingan kecil dilakukan kepada ucapan berkenaan.

Semoga tiupan semangat Imam Banna ini akan membangkitkan semangat juang buat mahasiswa di IPTA hari ini.

Roh perjuangan Imam Banna sentiasa menemani mahasiswa sekelian.

Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah, namun bingkisan dan ucapannya tetap relevan sepanjang zaman. Semuga dorongan beliau ini akan memberi motivasi kepada semua mahasiswa yang berada di penjara menara gading. Roh perjuangan imam banna tetap segar walaupun beliau sedang bersenadi tenang di pusara. Biarkan orang lain tidak membela mahasiswa! Allah dan rasulNya tetap bersama pejuang yang bersabar.