“Katakanlah: ‘Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”. Surah Al-Kahfi : 109
sahabat2 setia
Sunday, February 17, 2013
Warkah Cinta buatmu Zainab
Monday, April 4, 2011
Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Assyahid Hassan Al-Banna
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Al Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Anakanda di penjara menara gading,
Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.
Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.
Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Anakanda di penjara menara gading,
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.
Anakanda di penjara menara gading,
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah ‘Islam yang maha suci’ yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19): “Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.”
Suatu lagi firman Allah (Al-Maa’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.
Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
“Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali – kali akan di terima.”
Anakanda di penjara menara gading,
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.
Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Anakanda di penjara menara gading,
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
“Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
“Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.”
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.
Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
.............................................................................................................................
Warkah atau ucapan permulaan dari assyahid Hasan Al Banna ini dibuat dalam satu perjumpaan bersejarah bersama ribuan mahasiswa di Universiti Qahirah pada tahun 1940-an. Beberapa suntingan kecil dilakukan kepada ucapan berkenaan.
Semoga tiupan semangat Imam Banna ini akan membangkitkan semangat juang buat mahasiswa di IPTA hari ini.
Roh perjuangan Imam Banna sentiasa menemani mahasiswa sekelian.
Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah, namun bingkisan dan ucapannya tetap relevan sepanjang zaman. Semuga dorongan beliau ini akan memberi motivasi kepada semua mahasiswa yang berada di penjara menara gading. Roh perjuangan imam banna tetap segar walaupun beliau sedang bersenadi tenang di pusara. Biarkan orang lain tidak membela mahasiswa! Allah dan rasulNya tetap bersama pejuang yang bersabar.
Friday, January 7, 2011
Wahai Mereka Yang Memimpin

Saban hari kunanti,
Munculnya ia tidak kupasti,
Diriku masih mencari,
Apakah kumasih bermimpi?
Dunia saya, dunia anda.
Destinasi kita sama.
Biarpun perjalanan kita berbeza.
Kita berpandukan dengan cara yang sama.
Terpulang ke atas diri kita.
Apakah kita hendak menghayatinya.
Ataupun kita sudah jauh,
jauh bersama mereka yang berpaling daripada-Nya.
Siapakah kita?
Kenal entah tidak.
Segelintir sahaja yang berkemahuan.
Berusaha mencari asal usulnya.
Mengingati.
Tidak melupainya tatkala ujian mendatang.
Datangnya ia.
Nikmat tidak tertadah tangan.
Dijadikannya, penggelap hati.
Hilang entah ke mana.
Laluan yang lurus ke arah-Nya.
Sia-sia sudah.
Ke manakah mereka pergi?
Menjadi tunjang yang tidak berisi.
Akar hanya menurut.
Daun-daun luruh ditiup angin.
Kami menuruti.
Mata dikaburi.
Wahai mereka yang berkuasa!
Salah caturan kami merana.
Maruah agama terkena.
Kalian sedarkah?
Keadaan anak-anak yang tak kemana.
Tujuan tiada.
Hilang akal dibawa dunia.
Sedarkah kalian?
Tanggungjawab bukan permainan.
Amanah jangan digadai.
Membentuk pemuda, menjadi keutamaan.
Kenali Allah, kenali agama.
Kami merayu! Kami merintih!
Sedarkah kalian?
Kami sudah terkandas.
Sedarkah kalian?
Senang di atas.
Pasti susah dikemudian hari.
Di manakah konsep Islam yang ditunggu oleh kami? Mengapa liberal yang menjadi pilihan? Tidak takutkah? Tidak takutkah azab Allah yang pasti? Jangan sekali-kali dicabar kuasa-Nya.
Hari demi hari, saya menunggu untuk munculnya seorang pemimpin yan
g dapat memimpin ummah zaman ini. Lihat sahaja di sekeliling. Perpecahan berlaku tanpa kita sedari. Ramai sudah yang tergelincir dari landasan yang sebenar. Keutamaan memegang al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama semakin dilupakan dari sehari ke sehari. Undang-undang dunia pula diangkat menjadi undang-undang pentadbiran.
Hampir setiap kali saya bersua dengan masyarakat Islam di luar sana, sebut sahaja nama Malaysia, layanan terbaik akan diberikan kepada kita. Pujian demi pujian datang dari lidah mereka. Mengatakan bahawa negara kita adalah contoh negara Islam yang terbaik zaman ini. Senyuman mudah terukir di bibir, tetapi hati berkelakuan sebaliknya. Layakkah kita untuk mendapat pujian seperti itu?
Lihat sahaja anak-anak muda masa kini. Mereka ini yang bakal mentadbir negara kelak. Sering kali saya berfikir, apakah ada dalam kalangan anak-anak muda Islam pada masa kini, ada yang akan bangkit lalu memimpin kami? Dan mengubah apa yang sepatutnya, menuju ke jalan yang benar. Saya takut, di mana berkemungkinan satu hari nanti, mereka yang bukan beragama Islam yang akan memimpin dan mentadbir. Malah, kedudukan kita sudah terumbang-ambing, dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Dek arus pemodenan, kemewahan dunia, kekuasan dan pangkat, yang lemah semakin ditindas, yang alpa bermaharajalela.
Saya kira, jika bukan sekarang untuk kita berubah, bila lagi? Jangan disangka esok masih ada peluang.
Dan semestinya, ketaatan itu perlu datang daripada ummah kepada pemimpin-pemimpin yang memperjuang agama yang tercinta di samping memperjuangkan negara. Rentetan itu, terbentuklah yang satu jemaah, yakni jemaah Islam yang bersama-sama memperjuangkan agama!
Monday, January 3, 2011
keluhan seorang pendakwah..
Namun, adakah wajar untuk aku letih?
Sebanyak mana usaha aku andai dibandingkan usaha Nabi dan para sahabat. Berapa banyak usahaku ini berbanding usaha Hassan al-Banna. Layakkah aku untuk berasa letih?
Kecewa.
Hampir setiap jalan yang cuba aku redah menemui jalan buntu.
Namun, adakah layak untuk aku kecewa? Sedangkan Rasulullah S.A.W. yang ditolak oleh kaum sendiri pun tidak berputus asa dalam perjuangan, siapalah aku untuk kecewa?
Sibuk.
Sibuk menjalankan amanah-amanah yang diberi.
Namun, layakkah aku untuk mengaku diri ini sibuk?
Jika aku sibuk, bagaimana dengan Imam Syafie', Imam Ghazali dan Imam Nawawi? Apalah aku dibanding dgn mereka yang jauh lebih sibuk dan jauh lebih hebat dari diriku.
Pedih.
Pedih hati dan fizikal ini apabila menghadapai ujian dalam perjuangan ini.
Namun, apalah erti kepedihan ini dibandingkan dengan Bilal bin Rabah yang dihimpit dengan batu kerana menegakkan kalimah Ahad?
Hampa.
Hampa apabila amar makruf nahi mungkar yang dijalankan tidak diendahkan.
Adakah ini alasan untuk berhenti berjuang?
Sedangkan Nabi Nuh yang beratus tahun berdakwah, hanya sebilangan kecil kaumnya mengikutinya, namun, adakah baginda berputus asa?
Adakah kita selaku pendakwah ini selalu mengeluh? Mengapa perlu kita mengeluh?
Sedangkan sewaktu kita mengaku keIslaman diri, kita sudah menandatangani kontrak dengan Allah. Kontrak seumur hidup. Kontrak untuk bekerja untuk agamaNya.
Jadi, mengapakah kita mengeluh? Tiada alasan untukku berputus asa. Hanya ada satu jalan untukku. Gigih berusaha!
(At-Taubah:111)
Sunday, January 2, 2011
Bacalah..supaya kita lebih tahu

Di dalam organisasi, komunikasi adalah elemen terpenting untuk sebagai asas dalam hubungan antara ketua dan ahli. Arahan dan maklumat diberi adalah dalam bentuk komunikasi.
Kebiasaannya, masalah terjadi apabila arahan ketua sukar diikuti kerana halangan dalam komunikasi.
Apa itu komunikasi? Komunikasi secara umumnya ialah proses penyampaian maklumat dari satu pihak (penyampai) kepada pihak yang lain (penerima).
Menurut Harold D. Lasswell, komunikasi ialah SIAPA mengatakan APA, kepada SIAPA, melalui APA dan untuk APA.
Manakala Everett M. Rogers mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses untuk menyampaikan dan menerima idea-idea dan perasaan dengan tujuan untuk menukar perilaku orang ramai.
KEPENTINGAN KOMUNIKASI
- Memindahkan maklumat.
- Pembelajaran.
- Pengaruh.
- Hiburan.
- Sosialisasi.
KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN
"Kamu sekelian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu." - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Masalah yang ditimbulkan ahli, akan menjadi tanggungjawab seorang ketua. Maka, ketua perlu memastikan komunikasi yang berkesan berlaku antara ketua dan ahli supaya masalah tidak timbul dan seterusnya memberi beban kepada ketua.
HALANGAN KOMUNIKASI
- Halangan terhadap penghantar (persekitaran, sikap, nilai, harapan).
- Halangan terhadap pemahaman (bahasa, tahap intelek, persepsi terhadap mesej, panjang komunikasi, kesan terhadap status).
- Halangan terhadap penerimaan (prejudis konflik antara penerima dan pengirim).
Apa yang ingin saya tekankan, ialah berkaitan dengan konflik antara penerima dan pengirim. Hal ini berlaku kebanyakannya adalah kerana hilang rasa percaya dan keyakinan atau thiqah ahli kepada ketua.
Thiqah bermaksud keyakinan seorang ahli terhadap ketua atau pimpinan pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.
Dakwah tidak wujud tanpa qiadah, sejauh mana timbal balik thiqah antara pemimpin dan ahli merupakan kekuatan bagi sesuatu organisasi dan kekemasan strategi bagi mencapai matlamatnya serta mengatasi halangan–halangannya.
Firman Allah yang bermaksud :
"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya" - An-Nisa' : 65
MEWUJUDKAN THIQAH
Untuk membentuk thiqah di kalangan ahli:
- Pemimpin perlu mengenali siapakah ahlinya sebelum ini dan mengkaji latar belakangnya.
- Pemimpin perlu membuat ahli yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya.
- Akhlak pemimpin perlu dijaga sehingga ahli bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, disamping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik.
- Hujah pemimpin yang baik perlu dalam kemungkinan bahawa pendapat ahli salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak.
MASALAH YANG BERLAKU
Seringkali tercetusnya krisis ketaatan anggota terhadap pimpinan berpunca dari sikap pimpinan yang 'cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap' . Bukankah Allah telah menempelak golongan seperti ini dalam firmannya:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Al- Baqarah : 44
Seterusnya, pemimpin memberi maklumat yang kurang jelas di kalangan ahli untuk memahami sesuatu arahan ataupun terdapat halangan dalam penyampaian mesej tersebut seperti yang telah dinyatakan di atas.
PENUTUP
Sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar bahawa setiap diri kita adalah pemimpin. Mahu tidak mahu, kita pasti ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu, tidak kiralah ahli bawahan kita, ahli keluarga kita mahupun rakan-rakan kita atau apapun jua, masing-masing akan punya tanggungjawab.
Jagalah tanggungjawab masing-masing, supaya ia tidak menjadi beban di akhirat kelak.
Friday, December 17, 2010
Jadilah golongan yg sedikit daripada yg ramai..

Betapa Ramainya golongan yang ramai berbanding golongan yang sedikit..
Kalangan sedikit terpencil terasing berbanding dengan kalangan kebanyakan..
Yang sedikit beruntunglah dan yang ramai akan rugi jatuh muflis..
Kerana yang Ramai itu sedang memburu janji dunia...
Ramai mengatakan ketenangan itu adalah dengan metrealistik..
Kebahagiaan pula ramai yang katakan akan dapat jika gembira dan senang..
Tetapi kenapa masih ramai yang Berkrisis?
Huru-hara porak peranda dalam semua institusi terutamanya Keluarga..
Sedihnya golongan yang sedikit melihat dunia..
Ramai membuatkan dunia menjadi neraka sebelum neraka..
Syurga ramai katakan di dunia dan kubur masing-masing..
Mengapakah ramai semacam ini???
Dimanakah syurga?
Ramai yang mencarinya didunia yang fana ini..
Ramai yang malas bekerja dalam beramal kepada Allah..
Ramai yang sombong kepada Allah...
Ramai menjadikan sikap sombong dan agkuh itu sebagai rutin harian..
Ramai mahu berkasta-kasta dengan manusia amalan mereka..
Ramai mencipta Fitnah ditaburkan kepada yang sedikit atau sesama ramaihobi kegemaran..
Sering Berkira dalam segala hal dan tidak bersyukur itulah dia dalam Ramai...
Kita sudah berada di zaman jahiliyah moden..
Zaman kuku besi dan kerajaan menyombong..
Manusia mula jahil dalam beragama..
Agama mereka gadaikan kerana Janji Dunia...
Inilah janji dunia..
Ramai menganggap secara Lahiriah dengan metrealistik dikatakan bahagia..
Tenang ramai dicari dengan hiburan melampau-lampau..
Inilah yang dijanjikan kerana ramai menjadikan syaitan dan nafsu itu sebagai “Kawan”...
Alangkah sedikit yang sedar..
Alangkah ramai sekali yang Lara..
Sifat mazmumah lebih mengusai sifat mahmudah..
Apa sudah Terjadi Pada Kita???
Adakah kita golongan sedikit ataupun ramai???
Ya Allah..golongan sedikit ini tak sanggup melihat keadaan ini lagi..
Ahli agama sudah tidak Istiqomah dan hati mereka mula tidak ikhlas..
Para Artis dijadikan idola masyarakat dan kata-kata ulama dipandang enteng..
Benarlah sudah semua yang disabdakan nabi junjungan lebih 1400 tahun lampau..
Ya Allah datangkanlah dengan segera pembela agama islam ini..
Islam kini sedang dikecam dan mahu digigit keseluruhanya oleh para si kuffar danramai ini..
Belalah dan Bantulah ya Allah yang sedikit ini..
Hanya yang sedikit ini yakin sepenuhnya dengan janjimu Allah...
Yang sedikit ini merindui syiar islam kembali gemilang seperti dulu..
Yang sedikit ini sahaja yang percaya sejarah itu berlulang dan pasti berulang lagi..
Jadi tak mustahil zaman kebangkitan islam ini akan tiba tidak lama lagi...
Tak mustahil dan nostalgia lama berulang lagi dengan ketibaan seorang kekasih Allah..
Janjimu Allah yang sedikit ini menanti dengan penuh sabar...
Janjimu Allah pastinya berlaku..
Janji Dunia yang ramai itu menjadikan cinta dunia..
Janjimu Allah kepada yang sedikit ini dapat membawa kedamaiaan dan ketenangan yang dicari...
Itulah janji Allah kepada yang sedikit dan yang ramai ini...
Ayuh sama-sama kita jadikan diri kita yang sedikit ini..
Yang telah menjadi ramai kita menjadi sedikit..
Itu lebih mulia dari yang sedikit menjadi ramai kembali...
Kerana golongan itu yakni sedikit menjadi banyak kembali sebelum masa yang dijanjikan akan rugi..
Kembalilah mereka menjadi orang lama menjadi orang baru..
Mengundurkan diri dari sedikit menjadi ramai juga tidak mendapat apa-apa kecuali rugi semuanya..
istiqomahlah yang sedikit di jalan Allah yang telah ditunjukkan...
Yang sedikit akan diuji dengan kesusahan kepayahan..
Yang ramai akan diuji dengan kesenangan dan kelaraan..
Yang sedikit sebenarnya tahan diuji dengan pelbagai ujian..
Semoga Allah membantu dan meredhoi sentiasa yang sedikit ini...
Golongan yang sedikit ini tidak sesama sekali akan pupus..
Golongan sedikit ini tidak sama sekali akan lenyap..
Yang sedikit akan menjadi banyak dan berkembang..
Dan yang ramai akan lemah dan mati..
Janji Allah itu pasti..
Sememangnya pasti berlaku...
Pasti! Yang sedikit amat meyakininya.. InsyaAllah...
Mari sama-sama memeriahkan Dunia Baru Islam....
InsyaAllah yang sedikit itu akan menjadi ramai kembali..
Dan golongan yang ramai itu akan menyusut menjadi sedikit dan lama kelamaan akan lenyap..
Janji Allah pasti kepada semua...
Bersama pembelaan dan kasih sayangnya....
Sunday, December 5, 2010
Dakwah bukan untuk orang yg MANJA!
Dakwah bukan untuk orang yang malas. Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri. Dakwah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa. Dakwah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join. Yang penat, bersusah payah, elak. Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh Tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami, yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman bila dia dalam kesusahan. Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
Yang cepat mengalah, yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara ‘penting’ yang lain. Yang hanya pandai bercakap dan menulis, tapi amal kosong.
Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’dan usrah hanya kerana nak disebut sebagai orang yang ditarbiyah. Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute. Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah. Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh. Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.
Dakwah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.Dakwah bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot. Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.
Ingat…
Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara. Cuma, tanpa tarbiyyah,tanpa dakwah, belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti…INGAT TU.
Tak mengapa...
Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda. Berbahagialah seadanya.
Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..” Adakah ini petandanya saya terlalu MANJA?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu.
Thursday, December 2, 2010
Panji Keagungan Umat Islam...

Wahai Kaum Muslimin!
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw bersabda, dari Ibnu Abbas ra ,
"Al-Liwa'uha baidho' wa ar-rayatuha sauda'!"
"Bahawa bendera Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam berwarna putih, sedangkan panji beliau warnanya hitam."
Inilah panji mulia yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw, para sahabat radhiallahu anhum dan para khalifah yang berani menentang kebiadaban puak kuffar! Inilah panji Rasulullah saw yang dipertahankan dengan darah dan nyawa Sahabat terkenal, Ja'far bin Abi Thalib ketika perang Mu'tah dimana umat Islam yag hanya mempunyai kekuatan 3000 orang menentang kekuatan Rom dan seluruh penduduk jazirah Arab yang berjumlah 200,000! Suatu nisbah yang tidak masuk akal, 1 nisbah 6! Seorang tentera kaum muslimin terpaksa berhadapan dengan 6 orang tentera kuffar!
Di dalam peperangan ini, Ja'far bin Abi Thalib yang di amanahkan oleh Rasullah saw untuk menjadi Amirul Jihad mengepalai kaum muslimin telah ditebas tangan kirinya yang memegang teguh panji Ar-Royah! Langsung disambut oleh tangan kanan beliau! Kemudian tangan kanannya pula dipotong tanpa belas kasihan, Ja'far bin Abi Thalib tidak mengalah, malah memeluknya dengan sisa tangan yang ada!
MasyaAllah, sahabat mulia ini akhirnya dilempar dengan lembing daripada belakang sehingga terbelah badan beliau syahid di medan peperangan! Rasulullah saw menganugerahkan gelaran Ja'far Al-Janahain kepada beliau, iaitu Ja'far yang mempunyai dua kepak yang kini sedang bebas berterbangan di jannatul Firdaus, Subhanallah! Inilah hasilnya setelah bermati-matian memperjuangkan panji Rasulullah saw! Ganjaran ini tidak mungkin didapati oleh tentera-tentera Turki, Pakistan, dan Malaysia yang bermati-matian berperang di Afghanistan di bawah panji kotor Amerika!
Bendera Jalur Gemilang juga tidak layak untuk dimuliakan oleh kita sebagai umat Islam yang mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah, muhammadur Rasulullah! Bendera Jalur Gemilang ini adalah sebuah bendera yang dihasilkan melalui sebuah pertandingan yang telah mendapat kelulusan King George Vl pada tahun 1950! Maka tidak hairanlah kita kalau selama ini kita melihat bendera kita ini benar-benar mirip bendera Amerika! MasyaAllah!
Panji inilah juga yang diperjuangkan oleh Panglima Perang Thariq Bin Ziyad di zaman Khilafah Umaiyah yang telah memimpin futuhat ke atas Sepanyol pada tahun 711M. Setelah mendarat di sebuah tempat yang kemudiannya di namakan Jabal Thariq, beliau memerintahkan untuk membakar semua kapal dan berpidato di hadapan anak buahnya untuk membangkitkan semangat mereka:
أيّها الناس، أين المفر؟ البحر من ورائكم، والعدوّ أمامكم، والله وليس لكم إل الصدق والصبر...
Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran.
Pasukan Thariq yang hanya berjumlah 7000 orang, terus menyerbu ke benteng pertahanan puak kufar di wilayah Sepanyol yang mempunyai kekuatan berjumlah 25,000 orang tidak sekali-kali mematahkan semangat mereka kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dirisaukan, jika mereka memenangi pertarungan ini, kaum muslimin akan mendapatkan kemuliaan, dan sekiranya mereka mati, mereka akan dinobatkan oleh Allah sebagai syuhada' fi sabilillah! Dengan berkat keimanan dan semangat mereka mengibarkan panji Rasulullah saw, Umat Islam menyebarkan cahaya Islam ke seluruh Sepanyol selama lebih dari 700 tahun lamanya!
Panji inilah juga yang diangkat tinggi oleh Pahlawan Agung Salahuddin Al-Ayyubi ketika menghadapi tentera Salib yang diketuai King Richard di dalam perang Hittin. Tentera Salib dengan sewenang-wenangnya menumpahkan darah kaum muslimin di Baitul Maqdis dan berpesta arak di atas mayat-mayat kaum muslimin yang darahnya mencecah sehingga ke lutut!
Shalahuddin Al-Ayyubi yang merupakan seorang Muslim berbangsa Kurdish tidak berdiam diri bagi menyelamatkan kehormatan umat Islam yang berbangsa Arab di Baitul Maqdis! Bagi menghadapi kekuatan tentera salib, Salahuddin Al-Ayyubi terlebih dahulu menyatukan kekuatan umat Islam di Syria, Mesir, Sudan, Yaman, dan Hijaz sehingga berupaya membalas kembali kebiadaban tentera salib yang mengakibatkan 30,000 tentera salib mati dengan hina di tangan tentera umat Islam!
Panji inilah juga yang di junjung tinggi oleh perwira umat Islam, Sultan Muhammad Al-Fatih ketika membuka kota Konstantinople yang menjadi kubu kuat Rom Byzantium! Rasulullah saw pernah mengkhabarkan kepada kita di dalam hadithnya ketika sedang menggali Parit Khandaq;
"..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Amirnya adalah sebaik-baik Amir, tenteranya adalah sebaik-baik tentera......"
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Panji inilah juga yang dibawa oleh Sultan Saifuddin Qutuz yang memerangi tentera Monggol di dalam peperangan Ain Jalut, dalam rangka membalas dendam darah 1.8 juta kaum muslimin yang ditumpahkan di Baghdad! Tentera Monggol yang tidak pernah kalak ketika itu yang menguasai jajahan seluas Poland sehingga Korea menjadi kegerunan manusia seluruh dunia memberikan pilihan kepada Qutuz samada berperang atau menyerah.
Saifuddin Qutuz tidak melakukan hal yang menghinakan umat Islam sepertimana pemimpin umat Islam saat ini yang melakukan perjanjian damai dan bersalaman dengan musuh yang tangannya penuh dengan darah umat Islam. Namun Saifuddin Qutuz bangkit mengembalikan maruah umat Islam yang dicalar oleh puak kuffar monggol! Malah beliau menempelak pemimpin-pemimpin yang takut menghadapi musuh dengan berkata:
"Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad."
Wahai Kaum Muslimin!
Telah nyata keberanian nenek moyang kalian! Mereka merupakan para pahlawan yang sanggup berjuang dan siap mati demi Islam! Dan telah nyata pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin kalian yang ada pada hari ini! Mereka malah menjadi agen, menjadi hamba yang menuruti arahannya Amerika.
Mereka memberikan segala bahan galian kepunyaan umat iaitu minyak kepada Amerika dengan harga yang murah, mereka memberikan tanah-tanah umat kepada Amerika untuk membuat pangkalan tentera para syaitan yang memusuhi Allah, mereka memberikan ruang udara kita bagi mengebom saudara kita sendiri! Mereka menghulurkan tangan berjabat mesra dengan tangan pemimpin nombor satu umat Islam yang penuh dengan darah anak-anak Palestin, Iraq, dan Afghanistan! Apakah ini pemimpin-pemimpin seperti ini kita inginkan?

