“Katakanlah: ‘Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”. Surah Al-Kahfi : 109
sahabat2 setia
Wednesday, July 11, 2012
Thursday, January 12, 2012
" MAMPUS UMNO " !!

Ada sahabat yang prihatin bertanya kenapa saya memilih untuk menggunakan ungkapan "Mampus UMNO" pada Hari 901? Beliau juga berkata…teruk juga Muslimat PAS cuba difitnah oleh Blogger-Blogger UMNO…
Ini jawapan spontan saya….
Inilah sunnatuLlah perjuangan...Allah ingatkan kita dalam al Quran..apakah kamu fikir kamu akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman sebelum kamu diuji?.....setiap yang berlaku apatah lagi yang diledakkan oleh musuh-musuh kena disiasat...dan fahamkan.....InsyaAllah kami ni dah lama dalam perjuangan...
901 bukan himpunan yang pertama buat kami...cuma musuh nak jadikan isu dengan...adanya wanita (bukan PAS yg bersorak)...wording ana "Mampus UMNO" dan adanya wanita yang pergi salam Polis…..
Saya katakan…diik, ini realiti mad'u kita....kita memimpin rakyat...bukan memimpin para alim ulama....
Wording "Mampus UMNO" tu expresi spontan...daripada para jiwa yangg sudah lazim dizalimi Regim UMNO BN.... Peliknya…. bila kita guna perkataan Mampus UMNO ramai yang marah dan pertahankan atas uslub dakwah katanya....
Saya tak nafikan…saya antara yang komited memperingati Muslimat dengan Surah An Nahl : 125 dalam keadaan situasi dakwah yang biasa.
Pada hari itu, suasana dakwahnya berbeza. Di keliling saya adalah Wanita-Wanita Pemberani…yang biasa "bertempur" dengan Kezaliman Regim.
Ekpresi kebencian rakyat. Benarkah kita semua kisah pada nasib rakyat yang telah dizalimi? Ekspresi saya yang juga biasa menjadi mangsa kezaliman Regim di sebalik tirai besi lokap…..
Nasib kami yang menjadi habuan dan makanan Regim? Yang komen dan marah barangkali bukan yang dizalimi, melalui pengalaman sepertimana kami. Kami menjiwai keperitahan di bawah Regim kerana kami yang dipukul, yang diterajang, yang dimandikan dengan air berkimia, yang dikepung dengan gas-gas pemedih mata berulang kali, yang dikurung berjam-jam dalam lori polis dengan niat jahat, dijerkah, ditakut-takutkan untuk dirogol ketika berada di dalam lokap tiga hari dua malam dan lelaki-lelaki bertubuh sasa dan bermuka bengis mendatangi pintu-pintu lokap kami....ada siapa tahu...ada siapa ambik tahu...ada siapa kisah....
Nah...sampaikan semua ini kepada para pejuang di sana...kepada adikku para Muslimat....kepada adikku para Pemuda….yang tidak mengenali kekanda-kekanda mereka sendiri dalam perjuangan…sehingga barangkali fitnah dan umpan musuh mudah melekat….atau apa sahaja….mereka tetap adik-adik kami dalam perjuangan…sekalipun mereka memilih tidak bertanya tetapi terus mengikut rentak yang direbanakan musuh…
Ekpresi kami yang dibiarkan kelaparan... ekpresi kami yang pernah dibiarkan hypo dalam tahanan sehingga tidak upaya bangun melangkah sehinggalah dua tiga orang sahabat datang melawat membawa air manis dan bertenaga…...
Ekpresi kami yang dibiarkan tidur di atas simen yang sejuknya mencengkam ke tulang hitam....
Ekpresi kami yang ada ketikanya dibiarkan tidur di atas lantai simen...berbumbungkan langit dan berselimutkan embun dingin pagi...
Semua ini bukan cerita buku atau ceritera penglipurlara....tetapi kisah benar kami....
Nah...Regim UMNO yang membibitkan rasa benci dan marah kami....Regim zalim ini…tiada ungkapan yg benar-benar ana mahu laungkan melainkan "Mampus UMNO" pada ketika itu. UMNO - Pertubuhan Regim. Saya langsung tidak tujukan pada orang atau individu UMNO. Tapi Pertubuhan zalim itu….
Nah….sekadar ekpresi dari jiwa-jiwa kami yang masih sedang diadili dengan tuduhan dan saksi fitnah.
Kalau itu salah….dan menyebabkan ada yang terguris dan simpati kepada UMNO….maka apa lagi yang mampu saya kata…Cukuplah Allah dan Sahabat-Sahabat Perjuanganku yang mukhlis dalam ukhuwwah ini….
Tentu mereka mengerti….. MAAF JUA.
*Tulisan ini dipetik dari Facebook Aiman Athirah Al Jundi, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, dengan keizinan beliau. Utusan Malaysia semalam mendakwa bahawa gelagat Muslimat PAS di himpunan 901 cukup "memalukan".
Tuesday, December 27, 2011
Aku Sedang Futur??

Aku sedang futur,
solatku umpama persinggahan hambar,
puasa?Aaah…perutku tak tahan lapar,
malamku berlalu tanpa qiamullail,
mashafku tersisih tagih perhatian,
catatan amalanku mengeluh hampa.
Aku sedang futur,
melangkah ke jilsah terasa susah,
mendengar pengisian terasa muak,
aku mahukan bebas dan rehat,
bukan langkah yang sering diatur,
bukannya taklifan yang sering membeban.
Aku sedang futur,
bermalas santai menonton filem,
bertukar cerita berbual kosong,
lebih ku suka dan ku damba,
dari ziarah yang belum tentu hasilnya,
dari tazkirah yang belum pasti penerimaannya.
Aku sedang futur,
dakwah bagai merampas segala,
studyku..wangku..masa lapangku,
amar makrufku bukannya dipeduli,
nahi mungkarku dibiar sepi,
jadi..untuk apa aku bertahan lagi?
Ya, aku memang sedang futur!
Tapi kenapa kalian menjauh?
Mengapa tiada tangan yang menghulur,
memaut bahu berkongsi kekuatan,
menutur mau’izah mendamai jiwa?
Bukankah kita umpama bangunan,
saling menguatkan pabila lemah,
saling memperingat tatkala lupa?
Wednesday, November 23, 2011
~ Borak Politik ~

" kita pembela bangsa dan agama , kita juga perjuangkan agama, bukan parti mereka sahaja sahaja " itu sebahagian kata2 penyokong tegar parti kaum itu....
Alkisah
Ada situasi , ade dua orang terkenal menjadi imam, Tuan Guru Nik Aziz dan Najib Razak untuk menjadi imam di salah subuah masjid, penyokong parti kaum itu melaungkan "hidup kaum kami" dan penyokong parti islam bertakbir "Allahu akbar "maka penyokong parti kaum itu memilih ketua mereka untuk menjadi Imam, ye la, mereka pun perjuangkan agama, mestilah ketua mereka( ulul amri) juga orang yang sangat memahami agama (dak gitu ?), baru la pemimpin yang bagus . Maka penyokong parti islam pun memilih la Tuan Guru Nik Aziz untuk menjadi imam, maka timbullah sedikit masalah dalam pemilihan Imam.. nak masuk waktu waktu dah ni .
Jika ada perbalahan , maka diperlukan orang ke -3, jadi dua parti ini bersetuju untuk melantik orang tengah yang tidak fasik dan tidak berat sebelah....so berkatalah si pulan, "Imam merupakan pemimpin yang mengambil berat tentang masalah pengikut, yang memimpin pengikutnya ke arah jalan yang benar dan yang mengimami umatnya ke arah jalan yang diredhai Allah, sebelum dia mengimami umatnya mestila dia telebih dahulu menjadi contoh dan membimbing keluarga kerana asas kekuatan umat bermula dari individu yang soleh dan membentuk keluarga yang taat perintah Allah " Maka hakim ad hoc ini memanggil ke dua imam ini untuk di panggilkan isteri mereka dan dia berkata " Pemimpin yang bagus dan alim mestilah memimpin isteri mereka dan anak2 mereka terdahulu, baru lah boleh memimpin umat lain jika dia berkemampuan "
Maka di panggilkanlah isteri mereka, selang beberapa jam ,datang la isteri parti kaum itu dengan kapal terbang dan isteri tok guru jua.. setelah dilihatkan isteri kedua-dua imam ini, hakim tadi menggeleng kepale dan berkata " ya sheikh, mcm mane anta nak jadi imam ni, isteri anta tak bertudung, mana boleh mcm ni, keluarga anta anta kene jaga dulu, aurat tu bnda asas... asas... asas..." ulang hakim tu 3 kali. Jadi hakim itu membuat keputusan bahawa orang yang layak yang menjadi imam adalah Tuan Guru Nik Aziz tadi.
--------------------------------THE END----------------------------
Sebagai tambahan....
Maka 40 ulama yang baru masuk parti kaum itu pun menarik diri menjadi keahlian kerana malu dengan kisah tersebut.
Thursday, October 13, 2011
Aku Cemburu, Ya Allah...

Di hening pagi,
Ketika sang suria masih lagi samar-samar memancarkan sinarnya,
Ketika dedaunan masih basah disirami embun,
Ketika seluruh alam masih lagi sunyi,
Diriku hanya bertemankan sepi.
Aku melihat alam ciptaan Allah,
Langit yg membiru dan terbentang luas,
Pokok-pokok hijau yang tidak henti berzikir kepada Allah,
Kerdil aku rasakan ketika berada di hadapanMu, ya Allah,
Aku tertunduk,
Tubir mata mula digenangi air jernih,
Aku hanyut dibawa bayangan minda.
Peristiwa-peristiwa semalam,
Seringkali menerjah minda,
Biarpun cuba dipadam dan dilupa,
Namun parut tidak akan pergi begitu sahaja,
Pengalaman hidup jauh dari jalan redhaNya,
Membuatkanku benar-benar derita,
Tidak mahu aku kembali melalui jalan yang sama.
Ya Allah, aku cemburu!
Aku cemburu kepada mereka,
Mereka yang mempunyai hati yg dipenuhi dengan cinta,
Cinta kepada siapa?
Cinta kepadaMu wahai Tuhan yg menciptakanku,
Jiwa mereka dihiasi dengan semangat jihad,
Hati mereka diterangi dengan nur cinta yang abadi,
Iman memenuhi kamar sanubari,
Jalan perjuangan sedia mereka tempuhi,
Walaupun mmpunyai ranjau yg melukai.
Segala dugaan yang mendatang,
Dengan tabah mereka lalui,
Setiap tohmahan dan cacian,
Tidak pula mereka peduli,
Kerana hati mereka begitu asyik,
Terleka dan tenggelam oleh manisnya cinta.
Sedang aku di sini,
Dalam kesamaran masih tercari-cari,
Ke manakah hala tuju diri,
Setiap kelemahan berdikit-dikit ku cuba baiki,
Membersihkan kembali segumpal darah yang bernama hati,
Iman yang baru mula untuk berbuah,
Aku rasa begitu payah untuk dipertahankan.
Betapa hebatnya peperangan,
Yang terjadi antara iman dan nafsu,
Terkadang aku berasa ingin berhenti,
Berhenti daripada meneruskan langkah ini,
Tetapi aku tahu,
Bukan mudah untuk menggapai cinta hakiki,
Pengorbanan dan kesakitan harus aku lalui,
Demi sebuah pengakhiran yang bahagia,
Iaitu sebuah tempat di syurga yang ku damba.
Hembusan bayu menyedarkanku kembali,
Ya Allahu Ya Rabbi,
CintaMu menjadi dambaanku,
Dalam keheningan pagi ini,
Aku menadahkan tangan,
Bemohon dan merayu kepadaMu,
Ampunkan segala dosa-dosaku,
Walaupun amat berat dugaan yang Engkau berikan,
Demi setitis cinta aku relakan,
Ya Allah berikanku kekuatan,
Amin ya Rabbal 'Alamin...
Monday, April 4, 2011
Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Assyahid Hassan Al-Banna
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Al Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Anakanda di penjara menara gading,
Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.
Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.
Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Anakanda di penjara menara gading,
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.
Anakanda di penjara menara gading,
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah ‘Islam yang maha suci’ yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19): “Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.”
Suatu lagi firman Allah (Al-Maa’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.
Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
“Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali – kali akan di terima.”
Anakanda di penjara menara gading,
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.
Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Anakanda di penjara menara gading,
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
“Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
“Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.”
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.
Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
.............................................................................................................................
Warkah atau ucapan permulaan dari assyahid Hasan Al Banna ini dibuat dalam satu perjumpaan bersejarah bersama ribuan mahasiswa di Universiti Qahirah pada tahun 1940-an. Beberapa suntingan kecil dilakukan kepada ucapan berkenaan.
Semoga tiupan semangat Imam Banna ini akan membangkitkan semangat juang buat mahasiswa di IPTA hari ini.
Roh perjuangan Imam Banna sentiasa menemani mahasiswa sekelian.
Walaupun beliau telah kembali ke rahmatullah, namun bingkisan dan ucapannya tetap relevan sepanjang zaman. Semuga dorongan beliau ini akan memberi motivasi kepada semua mahasiswa yang berada di penjara menara gading. Roh perjuangan imam banna tetap segar walaupun beliau sedang bersenadi tenang di pusara. Biarkan orang lain tidak membela mahasiswa! Allah dan rasulNya tetap bersama pejuang yang bersabar.
Friday, January 7, 2011
Wahai Mereka Yang Memimpin

Saban hari kunanti,
Munculnya ia tidak kupasti,
Diriku masih mencari,
Apakah kumasih bermimpi?
Dunia saya, dunia anda.
Destinasi kita sama.
Biarpun perjalanan kita berbeza.
Kita berpandukan dengan cara yang sama.
Terpulang ke atas diri kita.
Apakah kita hendak menghayatinya.
Ataupun kita sudah jauh,
jauh bersama mereka yang berpaling daripada-Nya.
Siapakah kita?
Kenal entah tidak.
Segelintir sahaja yang berkemahuan.
Berusaha mencari asal usulnya.
Mengingati.
Tidak melupainya tatkala ujian mendatang.
Datangnya ia.
Nikmat tidak tertadah tangan.
Dijadikannya, penggelap hati.
Hilang entah ke mana.
Laluan yang lurus ke arah-Nya.
Sia-sia sudah.
Ke manakah mereka pergi?
Menjadi tunjang yang tidak berisi.
Akar hanya menurut.
Daun-daun luruh ditiup angin.
Kami menuruti.
Mata dikaburi.
Wahai mereka yang berkuasa!
Salah caturan kami merana.
Maruah agama terkena.
Kalian sedarkah?
Keadaan anak-anak yang tak kemana.
Tujuan tiada.
Hilang akal dibawa dunia.
Sedarkah kalian?
Tanggungjawab bukan permainan.
Amanah jangan digadai.
Membentuk pemuda, menjadi keutamaan.
Kenali Allah, kenali agama.
Kami merayu! Kami merintih!
Sedarkah kalian?
Kami sudah terkandas.
Sedarkah kalian?
Senang di atas.
Pasti susah dikemudian hari.
Di manakah konsep Islam yang ditunggu oleh kami? Mengapa liberal yang menjadi pilihan? Tidak takutkah? Tidak takutkah azab Allah yang pasti? Jangan sekali-kali dicabar kuasa-Nya.
Hari demi hari, saya menunggu untuk munculnya seorang pemimpin yan
g dapat memimpin ummah zaman ini. Lihat sahaja di sekeliling. Perpecahan berlaku tanpa kita sedari. Ramai sudah yang tergelincir dari landasan yang sebenar. Keutamaan memegang al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama semakin dilupakan dari sehari ke sehari. Undang-undang dunia pula diangkat menjadi undang-undang pentadbiran.
Hampir setiap kali saya bersua dengan masyarakat Islam di luar sana, sebut sahaja nama Malaysia, layanan terbaik akan diberikan kepada kita. Pujian demi pujian datang dari lidah mereka. Mengatakan bahawa negara kita adalah contoh negara Islam yang terbaik zaman ini. Senyuman mudah terukir di bibir, tetapi hati berkelakuan sebaliknya. Layakkah kita untuk mendapat pujian seperti itu?
Lihat sahaja anak-anak muda masa kini. Mereka ini yang bakal mentadbir negara kelak. Sering kali saya berfikir, apakah ada dalam kalangan anak-anak muda Islam pada masa kini, ada yang akan bangkit lalu memimpin kami? Dan mengubah apa yang sepatutnya, menuju ke jalan yang benar. Saya takut, di mana berkemungkinan satu hari nanti, mereka yang bukan beragama Islam yang akan memimpin dan mentadbir. Malah, kedudukan kita sudah terumbang-ambing, dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Dek arus pemodenan, kemewahan dunia, kekuasan dan pangkat, yang lemah semakin ditindas, yang alpa bermaharajalela.
Saya kira, jika bukan sekarang untuk kita berubah, bila lagi? Jangan disangka esok masih ada peluang.
Dan semestinya, ketaatan itu perlu datang daripada ummah kepada pemimpin-pemimpin yang memperjuang agama yang tercinta di samping memperjuangkan negara. Rentetan itu, terbentuklah yang satu jemaah, yakni jemaah Islam yang bersama-sama memperjuangkan agama!
Monday, January 3, 2011
keluhan seorang pendakwah..
Namun, adakah wajar untuk aku letih?
Sebanyak mana usaha aku andai dibandingkan usaha Nabi dan para sahabat. Berapa banyak usahaku ini berbanding usaha Hassan al-Banna. Layakkah aku untuk berasa letih?
Kecewa.
Hampir setiap jalan yang cuba aku redah menemui jalan buntu.
Namun, adakah layak untuk aku kecewa? Sedangkan Rasulullah S.A.W. yang ditolak oleh kaum sendiri pun tidak berputus asa dalam perjuangan, siapalah aku untuk kecewa?
Sibuk.
Sibuk menjalankan amanah-amanah yang diberi.
Namun, layakkah aku untuk mengaku diri ini sibuk?
Jika aku sibuk, bagaimana dengan Imam Syafie', Imam Ghazali dan Imam Nawawi? Apalah aku dibanding dgn mereka yang jauh lebih sibuk dan jauh lebih hebat dari diriku.
Pedih.
Pedih hati dan fizikal ini apabila menghadapai ujian dalam perjuangan ini.
Namun, apalah erti kepedihan ini dibandingkan dengan Bilal bin Rabah yang dihimpit dengan batu kerana menegakkan kalimah Ahad?
Hampa.
Hampa apabila amar makruf nahi mungkar yang dijalankan tidak diendahkan.
Adakah ini alasan untuk berhenti berjuang?
Sedangkan Nabi Nuh yang beratus tahun berdakwah, hanya sebilangan kecil kaumnya mengikutinya, namun, adakah baginda berputus asa?
Adakah kita selaku pendakwah ini selalu mengeluh? Mengapa perlu kita mengeluh?
Sedangkan sewaktu kita mengaku keIslaman diri, kita sudah menandatangani kontrak dengan Allah. Kontrak seumur hidup. Kontrak untuk bekerja untuk agamaNya.
Jadi, mengapakah kita mengeluh? Tiada alasan untukku berputus asa. Hanya ada satu jalan untukku. Gigih berusaha!
(At-Taubah:111)
Sunday, January 2, 2011
Bacalah..supaya kita lebih tahu

Di dalam organisasi, komunikasi adalah elemen terpenting untuk sebagai asas dalam hubungan antara ketua dan ahli. Arahan dan maklumat diberi adalah dalam bentuk komunikasi.
Kebiasaannya, masalah terjadi apabila arahan ketua sukar diikuti kerana halangan dalam komunikasi.
Apa itu komunikasi? Komunikasi secara umumnya ialah proses penyampaian maklumat dari satu pihak (penyampai) kepada pihak yang lain (penerima).
Menurut Harold D. Lasswell, komunikasi ialah SIAPA mengatakan APA, kepada SIAPA, melalui APA dan untuk APA.
Manakala Everett M. Rogers mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses untuk menyampaikan dan menerima idea-idea dan perasaan dengan tujuan untuk menukar perilaku orang ramai.
KEPENTINGAN KOMUNIKASI
- Memindahkan maklumat.
- Pembelajaran.
- Pengaruh.
- Hiburan.
- Sosialisasi.
KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN
"Kamu sekelian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu." - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Masalah yang ditimbulkan ahli, akan menjadi tanggungjawab seorang ketua. Maka, ketua perlu memastikan komunikasi yang berkesan berlaku antara ketua dan ahli supaya masalah tidak timbul dan seterusnya memberi beban kepada ketua.
HALANGAN KOMUNIKASI
- Halangan terhadap penghantar (persekitaran, sikap, nilai, harapan).
- Halangan terhadap pemahaman (bahasa, tahap intelek, persepsi terhadap mesej, panjang komunikasi, kesan terhadap status).
- Halangan terhadap penerimaan (prejudis konflik antara penerima dan pengirim).
Apa yang ingin saya tekankan, ialah berkaitan dengan konflik antara penerima dan pengirim. Hal ini berlaku kebanyakannya adalah kerana hilang rasa percaya dan keyakinan atau thiqah ahli kepada ketua.
Thiqah bermaksud keyakinan seorang ahli terhadap ketua atau pimpinan pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.
Dakwah tidak wujud tanpa qiadah, sejauh mana timbal balik thiqah antara pemimpin dan ahli merupakan kekuatan bagi sesuatu organisasi dan kekemasan strategi bagi mencapai matlamatnya serta mengatasi halangan–halangannya.
Firman Allah yang bermaksud :
"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya" - An-Nisa' : 65
MEWUJUDKAN THIQAH
Untuk membentuk thiqah di kalangan ahli:
- Pemimpin perlu mengenali siapakah ahlinya sebelum ini dan mengkaji latar belakangnya.
- Pemimpin perlu membuat ahli yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya.
- Akhlak pemimpin perlu dijaga sehingga ahli bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, disamping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik.
- Hujah pemimpin yang baik perlu dalam kemungkinan bahawa pendapat ahli salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak.
MASALAH YANG BERLAKU
Seringkali tercetusnya krisis ketaatan anggota terhadap pimpinan berpunca dari sikap pimpinan yang 'cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap' . Bukankah Allah telah menempelak golongan seperti ini dalam firmannya:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Al- Baqarah : 44
Seterusnya, pemimpin memberi maklumat yang kurang jelas di kalangan ahli untuk memahami sesuatu arahan ataupun terdapat halangan dalam penyampaian mesej tersebut seperti yang telah dinyatakan di atas.
PENUTUP
Sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar bahawa setiap diri kita adalah pemimpin. Mahu tidak mahu, kita pasti ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu, tidak kiralah ahli bawahan kita, ahli keluarga kita mahupun rakan-rakan kita atau apapun jua, masing-masing akan punya tanggungjawab.
Jagalah tanggungjawab masing-masing, supaya ia tidak menjadi beban di akhirat kelak.



