sahabat2 setia

Wednesday, May 4, 2016

Hati yang Bererti







Hati ini ibarat raja bagi manusia. Tanpa hati, manusia takkan mampu merasakan nikmat suatu perasaan. Hati menjadi pendorong seseorang samada membawanya kearah kebaikan atau sebaliknya. Hati yang tidak sakit, akan terus tumbuh membugar dan memberikan cahaya dan nafas baru yang memberi manfaat kepada sekeliling.

Hati yang segar dan bersih, adalah hati yang selalu mengharap dan merintih kepada Tuhan. Hati ini adalah hati yang tidak mati, bahkan akan terus mekar berkembang dan membentuk suatu jiwa yang ikhlas dan harmoni.Hati inilah akan memandu jiwa-jiwa yang tulus menuju Tuhan di negeri abadi.


Manusia adalah pemandu kepada hati. Jika tersilap memilih langkah menuju destinasi, maka hati akan turut condong mengikuti jejak. Hati yang condong kepada kesesatan dan maksiat, akan terkesan pada gerak laku dan perbuatan.


Hati seakan mata yang tajam dan mampu memberi tikaman. Ianya halus tapi terus menusuk tepat ke sasaran. Suara hati yang tulus dan ikhlas akan sampai dan memberikan siraman yang menyegarkan bagi hati-hati  lain.


Hati perlu dijaga rapi, persis gelas kaca. Ia mampu retak apabila tersilap langkah. Hati akan rosak sekiranya dibiarkan begitu sahaja. Hati yang dijaga akan terus hidup dan sentiasa mengingati nikmat-nikmat Tuhan. Kekuatan hati bergantung kepada kuat dan kentalnya nilai sebuah keimanan.  Iman akan terhakis dengan banyaknya penyakit hati dalam diri. Hati akan terhakis apabila memandang suatu yang tidak halal untuk dipandang.


Berkata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah : “ Pandangan mata dapat menusuk ke dalam hati sebagaimana layaknya anak panah. Jika ia tidak membunuh yang tertusuk, maka setidaknya orang tersebut pasti akan terluka. Pandangan  mata juga serupa dengan bara api yang dilemparkan ke dalam timbunan rumput kering. Jikalau pun ia tidak membakar seluruhnya, maka ia pasti akan menghanguskan sebahagian darinya. ”


Itulah hati. Mahu terus ia mati atau hidup bererti.

No comments:

Post a Comment