sahabat2 setia

Sunday, May 8, 2016

KEMANA HARUS AKU MELANGKAH






Mereka manusia kerdil lagi naïf dalam dunia moden dan mencabar. Akal mereka masih lagi belum mampu untuk menandingi kehebatan arus teknologi yang menggiurkan. Pasti besar tanggungjawab untuk mendidik, membentuk, dan semestinya mengimpikan mereka menjadi butir-butir permata yang bersinar bergemerlapan. Berat bahu dipikul memikirkan masa hadapan mereka seakan menjadi taruhan kepada sebuah impian dan cita-cita seorang aku.

Setiap dari mereka diciptakan dengan keunikan dan potensi yang tersendiri.Cukup unik dan terserlah! Ada yang mampu membuatku kagum dan semakin berfikir dengan hebatnya kuasa penciptaan Rabbul Jalil. Ada juga tidak aku mampu untuk memandangnya apatah lagi menyebut namanya. Bukan kerana takut, bahkan ada kisah tersendiri mereka yang membuat aku berduka dan berendam air mata. Hebatnya Tuhan, dipertemukan aku dengan mereka, bukan untuk bersuka sahaja, bahkan ada hikmah tersembunyi yang Dia mahu aku mencarinya sampai aku ketemu.

Setiap hari yang berlalu, ada hari-hari berduka dan tidak lupa juga ada hari-hari untuk celoteh rasa. Tidak ada walaupun sehari untuk aku tidak memikirkan satu persatu tentang mereka. Pernah juga buat-buat lupa tapi aku hanya hambaNya, aku mampu menipu manusia, tapi takkan aku mampu melarikan diri dari pandangan kasih dan rahmatNya.

Lalu apa pilihan yang aku ada? Mahu terus bertahan dan bersabar atau menunggu nasib yang tidak kunjung tiba? . Tidak dinafikan bebanan yang aku tanggung semakin memberat dan menghempap, tapi ini adalah tugas dan amanah. Sanggup atau tidak bukanlah persoalan utamanya, tapi apakah aku sanggup dan rela melihat masa depan mereka hancur dan rosak di depan mata? Pasti jawapannya tidak sama sekali.

Ada waktu dan ketika mereka perlu dipujuk dan dibimbing, tapi adakalanya mereka perlu dibentuk dengan sifat keperwiraan dan jati diri yang teguh.

Teguh dengan setiap inci godaan dunia, teguh dengan prinsip dan maruah diri, teguh dengan setiap hujah melalui kata-kata dan juga teguh,utuh dan sangat akrabnya mereka dengan Tuhan mereka.
Aku bukan malaikat untuk mereka sanjung dan junjung, cukup sekadar mereka tahu apa yang aku mahu mereka dokong dan sokong.

Inilah aku.Seorang yang telah ditakdirkan mendidik mereka,  Generasi cintakan al-Quran.


Mampukah aku istiqamah dan terus berusaha mencuba atau haruskan aku berundur dan mencari jiwa-jiwa lain yang bersedia menyemat bait-bait kataku dengan hati yang bersih dan penuh rela?

Wednesday, May 4, 2016

Hati yang Bererti







Hati ini ibarat raja bagi manusia. Tanpa hati, manusia takkan mampu merasakan nikmat suatu perasaan. Hati menjadi pendorong seseorang samada membawanya kearah kebaikan atau sebaliknya. Hati yang tidak sakit, akan terus tumbuh membugar dan memberikan cahaya dan nafas baru yang memberi manfaat kepada sekeliling.

Hati yang segar dan bersih, adalah hati yang selalu mengharap dan merintih kepada Tuhan. Hati ini adalah hati yang tidak mati, bahkan akan terus mekar berkembang dan membentuk suatu jiwa yang ikhlas dan harmoni.Hati inilah akan memandu jiwa-jiwa yang tulus menuju Tuhan di negeri abadi.


Manusia adalah pemandu kepada hati. Jika tersilap memilih langkah menuju destinasi, maka hati akan turut condong mengikuti jejak. Hati yang condong kepada kesesatan dan maksiat, akan terkesan pada gerak laku dan perbuatan.


Hati seakan mata yang tajam dan mampu memberi tikaman. Ianya halus tapi terus menusuk tepat ke sasaran. Suara hati yang tulus dan ikhlas akan sampai dan memberikan siraman yang menyegarkan bagi hati-hati  lain.


Hati perlu dijaga rapi, persis gelas kaca. Ia mampu retak apabila tersilap langkah. Hati akan rosak sekiranya dibiarkan begitu sahaja. Hati yang dijaga akan terus hidup dan sentiasa mengingati nikmat-nikmat Tuhan. Kekuatan hati bergantung kepada kuat dan kentalnya nilai sebuah keimanan.  Iman akan terhakis dengan banyaknya penyakit hati dalam diri. Hati akan terhakis apabila memandang suatu yang tidak halal untuk dipandang.


Berkata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah : “ Pandangan mata dapat menusuk ke dalam hati sebagaimana layaknya anak panah. Jika ia tidak membunuh yang tertusuk, maka setidaknya orang tersebut pasti akan terluka. Pandangan  mata juga serupa dengan bara api yang dilemparkan ke dalam timbunan rumput kering. Jikalau pun ia tidak membakar seluruhnya, maka ia pasti akan menghanguskan sebahagian darinya. ”


Itulah hati. Mahu terus ia mati atau hidup bererti.

Wednesday, November 20, 2013

Sabarlah Duhai Kakakku


     

Bersabarlah kakakku saat dirimu diuji,
Yakin dan percayalah,
Setiap rezeki itu sudah ada untukmu..

Sakit yang engkau bebani sekarang,
Adalah penghapus dosamu,
Setianya engkau terhadap suamimu,
Adalah rahmat untukmu,

Jangan berhenti berharap,
Jangan pernah berhenti berdoa,
jangan sesekali berhenti mengadu padaNya..

Yakinlah,
Yakinlah,
dan yakinlah..

Moga dikau baik-baik sahaja.



# Mohon doa untuk kakak saya yang akan menjalani pembedahan pada pagi esok. Moga kakak dan baby selamat dalam limpah rahmat dan kasih sayang Allah.

Tuesday, November 12, 2013

Cinta Yang Satu




     Sememangnya menjadi lumrah setiap manusia berkehendakkan sesuatu yang cantik dan indah. Kecantikan dan keindahan berbeza mengikut pandang sisi manusia yang pelbagai.Ada orang menganggap cantik apabila bertudung litup, ada juga yang mendefinisikan cantik pada paras rupa dan tidak kurang juga sama halnya cantik dari sudut penampilan.

    Cantik itu tidak salah. Akan tetapi,menggunakan kecantikan untuk mempromosikan diri itu sebanarnya yang salah. Cantik rupa dan indah bahasa itu yang digilai.

   Cantik juga menjadi satu elemen terpenting dalam proses pencarian teman hidup. Ada orang jatuh cinta hanya kerana mata yang cantik. Ya! Hanya kerana mata.

Tidak hairanlah cinta itu boleh membuatkan manusia gila. Seorang penyair pernah menukilkan :

" Aku tidak tahu apakah pesonanya memikat atau mungkin akalku yang tidak lagi di tempat " 






    Bahananya cinta yang berlandaskan nafsu membawa impak yang sangat besar kepada ummat islam. Berapa ramai anak Adam dan Hawa kecundang hanya kerana nafsu dan cinta.  Mereka yang bercinta seakan-akan mabuk dan lalai sekiranya tidak dipandu dengan akal dan iman. Selagimana pernikahan itu tidak terlaksana, berhati-hatilah dengan godaannya.

Mohonlah pada Allah agar dipermudahkan urusan. Jangan meminta belas manusia  dan membelakangi Rabb Yang Maha Satu itu. Kelak nanti, kita akan datang merayu-rayu kepadaNya.


Sunday, February 17, 2013

Warkah Cinta buatmu Zainab






Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.







Ibu, maaf seandainya warkahku ini lewat sampai ke pengetahuanmu. Ya! Aku tahu bukan sahaja lewat, malah memang sudah terlambat. Tapi ibu, aku mahu generasi-generasi sepertiku tahu, mengapa aku begitu menyanjungi insan sepertimu. Aku mahu engkau juga tahu, aku sangat kagum dengan peribadimu dan adakalanya juga aku turut berasa cemburu dengan akrabnya hubunganmu bersama Tuhan kita, Allah Yang Satu.

Ibu, aku tahu bahawa engkau adalah seorang wanita yang tabah. Dibelakangmu terletak sesusuk tubuh yang begitu kental melindungimu. Bukan dia takut ibu, tapi itulah bukti dia sangat menyayangimu.Aku juga tahu, dia berbangga adanya seorang isteri sepertimu.

Ibu, sebetulnya aku sangat tersentuh dengan kisah perjuanganmu. Aku tahu bahawa engkau tersiksa disaat engkau dihumban ke dalam neraka taghut itu. Kalau aku ditempatmu,mahu saja aku doakan kecelakaan untuk mereka. Tapi ibu, sungguh Demi Allah Yang ZatNya Maha Melihat, engkau tidak gopoh seperti aku.Kekentalan dan ketabahanmu itu sudah cukup membuatkan mereka gerun, bahkan mereka akan lari lintang pukang mendengar ayat-ayat suci yang engkau bacakan.Mereka sebenarnya lemah saja ibu, tetapi keangkuhan mereka telah menutup kelemahan mereka.
Sungguh, aku juga sangat terkesan dengan ayat peganganmu :

“ Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan rasulNya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina. Allah telah menetapkan ;’ Aku dan Rasul-rasulKu pasti menang.Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa ‘.( Al-Mujadalah : 20-21 )

Setiap kali aku membaca tulisanmu, aku pasti akan tertanya-tanya.Apakah yang membuatkanmu tidak merasa sakit dengan penderitaan yang dirancang oleh taghut itu, sekutu Allah? Ibu, aku juga wanita sepertimu, dan sifat kita ini sama sahaja. Aku dan engkau-tiada beza. Tapi mengapa engkau boleh seteguh dan sekuat itu ibu? Berkali-kali aku cuba menyelongkar tulisanmu, mencari-cari karamah istimewamu, tapi aku buntu dan ternyata engkau masih sama, sama sepertiku.

Ibu, tidak dapat aku bayangkan betapa pedihnya penderitaanmu.Disaat isi kulitmu bagai dilapah dan hancur dek kerana cemeti dan sebat, engkau digantung seperti orang lelaki, engkau diletakkan di tengah-tengah bahang api yang menggila, kononnya untuk melemahkanmu.Subhanallah,lihat saja, engkau tetap saja tenang berdepan dengan talibarut-talibarut itu. Engkau turut bersahaja disaat mereka menggelarkanmu sebagai gila dan kononnya engkau hanya berangan sahaja. Sungguh, Tuhan telah memuliakanmu dan menguatkanmu disaat setiap hari ada saja saudara ikhwanmu dikuburkan. Engkau bertegas mengatakan mereka bukan dikuburkan, tetapi mereka telah syahid mendahuluimu.

Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka : ‘ La ilaha illallah ‘ ( Tiada Tuhan melainkan Allah ) mereka menyombongkan diri dan berkata : ‘ Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila? ‘. ( As-Saffat 35-36 )

Ibu, Aku merasa satu penyesalan bagiku sekiranya aku hanya berseronok sahaja sedangkan arahan Allah itu sudah jelas dihadapan mataku. Ibu, tahukan engkau bahawa generasi sekarang ramai yang tidak mahu memahami islam dan kadang-kadang aku turut berasa lemah.Aku tidak mampu jadi sepertimu. Tapi mungkin aku bisa menyuntik semangatku kembali apabila membaca kisahmu.Ibu, walaupun aku tidak pernah berjumpa denganmu, tapi ketahuilah aku sangat menyayangimu sepertimana aku kasih dan cinta kepada ibubapaku dan sahabat-sahabat perjuanganku. Doakan aku ibu, moga aku terus teguh dijalan ini, biar apa sahaja yang bakal aku tempuhi tidak sehebat apa yang engkau telah lalui.

Terimalah ibu,hadiah dari Tuhan kita, khas dariku:
“ Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mendapat rezeki ‘ ( Al-Imran : 169 ).

Moga Allah memudahkan jalan kami untuk merebut lamaran Allah ke Syurga.Amin.



Tuesday, December 11, 2012

Jaga Allah, Allah jaga kamu..



Syukur ke hadrat Allah kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menulis.Ya, Alhamdulillah.

Pagi jumaat lepas, merupakan antara hari-hari yang terindah dalam hidup saya.
Dapat juga merehatkan fikiran dan berjaya meng'koreksi' diri di pagi yang indah, udaranya indah, anginnya indah, pastinya pemberian dari Tuhan yang sangat Terindah..Alhamdulillah.

Kesempatan ini saya gunakan untuk beriadah bersama sahabat saya, Nurul Shifaah. Satu nama yang sangat saya kagumi. Baik penampilannya, susuk tubuhnya, aura kata-katanya.
Perkenalan saya dengannya yang bermula semasa saya di tingkatan 4. Waktu tu saya sedang menghadiri perkhemahan agung Puteri Islam.Sedang di waktu yang sama, sahabat saya itu sedang mengelola program sekolahnya.

Disaat kami bertahajjud, di saat itu la saya mendengar setiap butir katanya seakan-akan saya sedang menjadi peserta program sekolah mereka. Tak disangka perkenalan singkat itu berterusan apabila kami ditakdirkan bertemu di UIAM. Berada satu bumbung berteraskan manhaj perjuangan nabi, kami berikrar untuk bersama. Manis kenangan itu Ya Allah.

" Jom kita tasmik Zue ", ajak beliau.

Sambil berjalan, saya mendengar bacaannya. Sesekali ada yang terlupa. Adat seorang manusia ." Biasala tu Ah " , kata saya.



Sesi kedua. Kami bergilir-gilir membaca Al-Quran selang satu ayat.Adakalanya saya turut terlupa dan tertukar " kepala " ayat. Aduh, berat rasanya bahu yang saya pikul untuk menghafal Kalam Allah ini.

Sesi ketiga, saya biarkan Shifaah bersendirian sementara saya menunggang basikal sambil menikmati alunan bacaan Al-Quran yang sungguh menyentuh jiwa saya. Syeikh Misyari Rasyid Al-Afasi. Kerana suaranya saya mengalirkan air mata tatkala membaca surah Taha.

" Susah kan nak ingat dan nak jaga hafalan? " kata saya.

" Mujahadah itu memang pahit Zue. Yang penting kita kena pertingkatkan usaha kita. Yakin dengan diri kita. InsyaAllah, kita boleh lah! " tukas Shifaah.

Dalam hati, saya tersenyum. Syukur mempunyai sahabat sekental dan sehebat beliau. Doakan kami menjadi salah seorang di antara " Huffaz " Kalam Allah.

Ya, semua ini bukan senang, tapi ia juga bukan susah.
Kalau orang lain boleh, takkan kita tak boleh? Asasnya adalah yakin dan taqwa. Segala urusan selepasnya, bergantung lah kepada Allah.

Di tasik Maryam, bersama basikal yang saya pinjam, menjadi bukti bahawa saya telah memasakkan impian ke arah itu.
Dahulu saya pernah gagal memasuki Darul Quran, tapi di sini saya takkan mengalah untuk gagal menjadi seorang itu. Doakan ye! :)

                                 
 Tasik di belakang Mahallah Maryam..Sejuk mata memandang.
                                  

Basikal yang saya pinjam dari seorang adik junior ( Aisyah Adila )
- Bukan Gambar Sebenar, hehe


* Di Hamparan ini, Ku Seru Namamu..

Tuesday, December 4, 2012

Allah kan Ada..

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar, dah lama rupenyer saya tak update blog..
dah usang bebenor dah ( kata org perak )..

Bukan malas nak update, tetapi mungkin disebabkan kekangan masa yang menghimpit..
ape pon, syukur sebab dapat jugak coretkan sedikit sebanyak..

Dalam hidup kite ni, percayalah bahawa kite takkan pernah terlepas dari diuji.

                                            

Ada orang di uji dengan banyaknya harta
Ada orang di uji dengan tingginya ilmu
Ada orang di uji dengan indahnya rupa
Ada orang di uji dengan ikhlasnya bekerja
Ada orang di uji dengan hebatnya berkata-kata
Ada orang di uji dengan jawatan



Pendek kata, setiap dari kite pernah merasa jatuh.
Macam mana nak bangkit?
Allah kan ade :)
Serahkan segala urusan kepada Dia..Kerana Dia Maha Tahu atas Segalanya.