sahabat2 setia

Sunday, May 8, 2016

KEMANA HARUS AKU MELANGKAH






Mereka manusia kerdil lagi naïf dalam dunia moden dan mencabar. Akal mereka masih lagi belum mampu untuk menandingi kehebatan arus teknologi yang menggiurkan. Pasti besar tanggungjawab untuk mendidik, membentuk, dan semestinya mengimpikan mereka menjadi butir-butir permata yang bersinar bergemerlapan. Berat bahu dipikul memikirkan masa hadapan mereka seakan menjadi taruhan kepada sebuah impian dan cita-cita seorang aku.

Setiap dari mereka diciptakan dengan keunikan dan potensi yang tersendiri.Cukup unik dan terserlah! Ada yang mampu membuatku kagum dan semakin berfikir dengan hebatnya kuasa penciptaan Rabbul Jalil. Ada juga tidak aku mampu untuk memandangnya apatah lagi menyebut namanya. Bukan kerana takut, bahkan ada kisah tersendiri mereka yang membuat aku berduka dan berendam air mata. Hebatnya Tuhan, dipertemukan aku dengan mereka, bukan untuk bersuka sahaja, bahkan ada hikmah tersembunyi yang Dia mahu aku mencarinya sampai aku ketemu.

Setiap hari yang berlalu, ada hari-hari berduka dan tidak lupa juga ada hari-hari untuk celoteh rasa. Tidak ada walaupun sehari untuk aku tidak memikirkan satu persatu tentang mereka. Pernah juga buat-buat lupa tapi aku hanya hambaNya, aku mampu menipu manusia, tapi takkan aku mampu melarikan diri dari pandangan kasih dan rahmatNya.

Lalu apa pilihan yang aku ada? Mahu terus bertahan dan bersabar atau menunggu nasib yang tidak kunjung tiba? . Tidak dinafikan bebanan yang aku tanggung semakin memberat dan menghempap, tapi ini adalah tugas dan amanah. Sanggup atau tidak bukanlah persoalan utamanya, tapi apakah aku sanggup dan rela melihat masa depan mereka hancur dan rosak di depan mata? Pasti jawapannya tidak sama sekali.

Ada waktu dan ketika mereka perlu dipujuk dan dibimbing, tapi adakalanya mereka perlu dibentuk dengan sifat keperwiraan dan jati diri yang teguh.

Teguh dengan setiap inci godaan dunia, teguh dengan prinsip dan maruah diri, teguh dengan setiap hujah melalui kata-kata dan juga teguh,utuh dan sangat akrabnya mereka dengan Tuhan mereka.
Aku bukan malaikat untuk mereka sanjung dan junjung, cukup sekadar mereka tahu apa yang aku mahu mereka dokong dan sokong.

Inilah aku.Seorang yang telah ditakdirkan mendidik mereka,  Generasi cintakan al-Quran.


Mampukah aku istiqamah dan terus berusaha mencuba atau haruskan aku berundur dan mencari jiwa-jiwa lain yang bersedia menyemat bait-bait kataku dengan hati yang bersih dan penuh rela?

No comments:

Post a Comment