sahabat2 setia

Sunday, February 17, 2013

Warkah Cinta buatmu Zainab






Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.







Ibu, maaf seandainya warkahku ini lewat sampai ke pengetahuanmu. Ya! Aku tahu bukan sahaja lewat, malah memang sudah terlambat. Tapi ibu, aku mahu generasi-generasi sepertiku tahu, mengapa aku begitu menyanjungi insan sepertimu. Aku mahu engkau juga tahu, aku sangat kagum dengan peribadimu dan adakalanya juga aku turut berasa cemburu dengan akrabnya hubunganmu bersama Tuhan kita, Allah Yang Satu.

Ibu, aku tahu bahawa engkau adalah seorang wanita yang tabah. Dibelakangmu terletak sesusuk tubuh yang begitu kental melindungimu. Bukan dia takut ibu, tapi itulah bukti dia sangat menyayangimu.Aku juga tahu, dia berbangga adanya seorang isteri sepertimu.

Ibu, sebetulnya aku sangat tersentuh dengan kisah perjuanganmu. Aku tahu bahawa engkau tersiksa disaat engkau dihumban ke dalam neraka taghut itu. Kalau aku ditempatmu,mahu saja aku doakan kecelakaan untuk mereka. Tapi ibu, sungguh Demi Allah Yang ZatNya Maha Melihat, engkau tidak gopoh seperti aku.Kekentalan dan ketabahanmu itu sudah cukup membuatkan mereka gerun, bahkan mereka akan lari lintang pukang mendengar ayat-ayat suci yang engkau bacakan.Mereka sebenarnya lemah saja ibu, tetapi keangkuhan mereka telah menutup kelemahan mereka.
Sungguh, aku juga sangat terkesan dengan ayat peganganmu :

“ Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan rasulNya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina. Allah telah menetapkan ;’ Aku dan Rasul-rasulKu pasti menang.Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa ‘.( Al-Mujadalah : 20-21 )

Setiap kali aku membaca tulisanmu, aku pasti akan tertanya-tanya.Apakah yang membuatkanmu tidak merasa sakit dengan penderitaan yang dirancang oleh taghut itu, sekutu Allah? Ibu, aku juga wanita sepertimu, dan sifat kita ini sama sahaja. Aku dan engkau-tiada beza. Tapi mengapa engkau boleh seteguh dan sekuat itu ibu? Berkali-kali aku cuba menyelongkar tulisanmu, mencari-cari karamah istimewamu, tapi aku buntu dan ternyata engkau masih sama, sama sepertiku.

Ibu, tidak dapat aku bayangkan betapa pedihnya penderitaanmu.Disaat isi kulitmu bagai dilapah dan hancur dek kerana cemeti dan sebat, engkau digantung seperti orang lelaki, engkau diletakkan di tengah-tengah bahang api yang menggila, kononnya untuk melemahkanmu.Subhanallah,lihat saja, engkau tetap saja tenang berdepan dengan talibarut-talibarut itu. Engkau turut bersahaja disaat mereka menggelarkanmu sebagai gila dan kononnya engkau hanya berangan sahaja. Sungguh, Tuhan telah memuliakanmu dan menguatkanmu disaat setiap hari ada saja saudara ikhwanmu dikuburkan. Engkau bertegas mengatakan mereka bukan dikuburkan, tetapi mereka telah syahid mendahuluimu.

Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka : ‘ La ilaha illallah ‘ ( Tiada Tuhan melainkan Allah ) mereka menyombongkan diri dan berkata : ‘ Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila? ‘. ( As-Saffat 35-36 )

Ibu, Aku merasa satu penyesalan bagiku sekiranya aku hanya berseronok sahaja sedangkan arahan Allah itu sudah jelas dihadapan mataku. Ibu, tahukan engkau bahawa generasi sekarang ramai yang tidak mahu memahami islam dan kadang-kadang aku turut berasa lemah.Aku tidak mampu jadi sepertimu. Tapi mungkin aku bisa menyuntik semangatku kembali apabila membaca kisahmu.Ibu, walaupun aku tidak pernah berjumpa denganmu, tapi ketahuilah aku sangat menyayangimu sepertimana aku kasih dan cinta kepada ibubapaku dan sahabat-sahabat perjuanganku. Doakan aku ibu, moga aku terus teguh dijalan ini, biar apa sahaja yang bakal aku tempuhi tidak sehebat apa yang engkau telah lalui.

Terimalah ibu,hadiah dari Tuhan kita, khas dariku:
“ Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mendapat rezeki ‘ ( Al-Imran : 169 ).

Moga Allah memudahkan jalan kami untuk merebut lamaran Allah ke Syurga.Amin.



No comments:

Post a Comment