Intipati
Ucapan Presiden PAS
Munajat dan
Himpunan Hijau Menuju Putrajaya
Firman
Allah:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬
Dan
sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa
jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)
1.
Mukadimah
PAS
menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk
membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan
petunjuk Allah, dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya
mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.,
insyaAllah. Sudah tiba masanya BN diundurkan, kerana tempoh masa terlalu
panjang sehingga terdedah banyak kesilapan yang memalukan. Kalau dibiarkan
berterusan, menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan
membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.
Sejak
mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk
merealisasikan cita-cita murni tersebut. Justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli
PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.
Dalam
menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan
jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan
dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.
Marilah
kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a.
kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera
Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:
فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال،
فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن
تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من
عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن
عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا
في القوة
Sesungguhnya
aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa
kepada Allah swt dalam apa jua keadaan.
Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat
di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang
bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang
tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu.
Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka
berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam
diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah
swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi
mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka
dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material
yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat
sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat
daripada kita .
2.
Kandungan
2.1 Allah
menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana
Firman Allah s.w.t.:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ
أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ تُؤۡمِنُونَ
بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ
وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ يَغۡفِرۡ
لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا
ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ
ٱلۡعَظِيمُ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَاۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬
قَرِيبٌ۬ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai
orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh
menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu
beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah
dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi
kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah
akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan
yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari
Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah
berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 –
13)
Allah
s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua
bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفوز الغظيم) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فتح قريب) di dunia.
Kemenangan
akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله) setelah kita mempersiapkan
ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak, komited, pimpinan-pimpinan parti
yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti
yang tepat.
2.2 Menegaskan
kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi
keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.
Tiada
percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar
perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):
“Memperjuangkan
wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana
di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.
Memenuhi
ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah: (آل عمران)
104.
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah
orang-orang yang berjaya.
PAS sedia
berdailog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang
membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan
pendirian PAS yang sentiasaberistiqamah.
Membangunkan
sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk
menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia,
malah kepada seluruh alam sejagat.
PAS menyeru
kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang
dikemukakan:
“Kerajaan
beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان) di dalam seluruh sistem
pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi,
sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat
yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات) dan saling bekerjasama (التعاون) ke arah kejayaan (الفلاح) pemerintah dan rakyat di
dunia dan di akhirat.”
Allah
membuat perbandingan dengan firmannya: (البقرة)
200.
Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami
(kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di
akhirat.
201.
Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa
neraka"
Model
Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO
dan BN, kerana sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan
sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan
Bumiputera.
Model
Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan
memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah
kepada alam sekitar.
2.3 PAS
telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat
Melayu-Islam di negara ini.
UMNO
sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara
sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan
yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dasar
perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang
termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya
mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di
Malaysia. Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan
rakyat yang berteraskan adil kepada semua .
Dengan
semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakang al-Quran dan
al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam. Hukum-hukum Allah
dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.
Apabila
Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak
dapat dipertahankan.
UMNO juga
bertanggungjawab
Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan
1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check
and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.
Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi
Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan
daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh
kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.
Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab
Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan
pemilikan oleh warga asing.
Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan
negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah. Antaranya dengan menafikan hak
kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai
terhadap Sabah dan Serawak.
Pemerintahan
UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku
keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Salah satu petunjuknya, kadar
kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun. Pada tahun 2009, seramai
17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.
PAS
benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran
al-Quran dan al-Sunnah.
2.4 PR
juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.
Negara
Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara
semakin runtuh dengan:
-
Terhakisnya semangat federalisme.
Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja
Melayu.
Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa, sehingga Institusi Kehakiman tidak
lagi berwibawa dan hilang keyakinan.
Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam
Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana
Menteri.
-
Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.
Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan
adalah begitu besar.
Ketika orang lain mengambil contoh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat,
BN yang berketuakan Umno menipu dan merasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan
apa sahaja.
Masa depan
ekonomi Negara juga semakin suram.
Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion
melebihi 53% KDNK Negara.
Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu
77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.
-
Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.
Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi
rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM
3000 ke bawah.
Amalan
rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan
ketirisan. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin
merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.
Dasar dan
polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop
dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air
Asia.
Begitulah
kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan
ahlinya.
فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة
2.5 Roadmap
ke Putrajaya
PAS
menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan
itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung
Malaysia di samping melipat-gandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.
PR perlu
memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di
Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:
Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008
Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU
ke-12 2008.
Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang,
Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
PAS mesti
berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia
di perintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
PAS mesti
berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di
samping berusaha menawan negeri Perlis.
PAS mesti
berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka,
Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.
PAS juga
mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang
ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam,
kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan
pentadbiran kerajaan dan sebagainya.
PAS mesti
memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga
menambah secara purata 3 - 4 % dengan langkah-langkah berikut:
Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin
Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan
langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat
Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.
Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan
sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar.
Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk
tujuan tersebut.
Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan
pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.
PAS melalui
Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepadapengundi-pengundi Muda
yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.
PAS melalui
Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN
dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS
yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.
PAS melalui
Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk
meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang
adil dan ihsan.
PAS melalui
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan
Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan “PAS for All”.
Semua
ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan
keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping
penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpujisupaya mereka
beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Sekiranya PAS dan
PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil
sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah
s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.
2.6 Persiapan
Ahli-ahli PAS
Firman
Allah:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ
وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Wahai
orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam
mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu
(lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan
melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya
kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)
Berdasarkan
ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang
tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling
sengit.
Para
petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan
sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.
Usaha yang
bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada
peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang
tidak perlu dan mengutama semangat syura dalam membuat keputusan di setiap
peringkat.
Mempereratkan
hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya
bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.
3. Penutup
Saya
menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai
sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita , melaksanakan
tugas dengan Istiqamah dan Iltizam , semata-mata mencapai keredhaan Allah.
الله أكبر ولله الحمد
No comments:
Post a Comment